Berita & Rencana

Syed Saddiq: Kerajaan Tidak Pernah Bersedia Dengan PKP

Bayangkan, dalam masa 2 hari sahaja, kerajaan telah membuat keputusan flip flop berkaitan PKP.

8 Mei – Tiada Cadangan Laksana PKP Menyeluruh

10 Mei –  PKP Seluruh Negara

Maksudnya, kerajaan hanya berfikir separuh masak apabila mengumumkan PKP. Sebab itu kita sendiri dapat lihat banyak kelemahan dalam perlaksanaan PKP kali ini.

1. Tidak ada bantuan perlindungan moratorium automatik kepada rakyat

Mengapa tidak beri pengecualian kepada rakyat dari bayar pinjaman bank (rumah dan kenderaan) untuk satu tempoh sewaktu PKP?

Seharusnya PKP itu hadir dengan satu bentuk perlindungan ekonomi kepada rakyat. Malangnya ini tidak berlaku.

2. Laptop kepada pelajar untuk PDPR

Apabila Kerajaan tutup sekolah, sesi kelas perlu berjalan seperti biasa di rumah. Tahun lepas menyaksikan ramai pelajar yang tidak boleh turut serta dalam kelas online kerana isu gajet.

Soalannya, apabila umum PKP, segerakanlah juga pemberian laptop kepada pelajar (seperti yang kerajaan janjikan pada tahun lepas lagi). Malangnya ini tidak berlaku.

3. Umum PKP tapi Kilang masih dibuka

Kerajaan seharusnya tahu bahawa 48.06% kluster COVID-19 adalah berpunca dari operasi kilang. Kalau nak lawan COVID-19, tutup kilang dahulu.

Tetapi, kerajaan tak tutup kilang. Yang kerajaan tutup adalah periuk nasi rakyat. Kedai makan, penjaja, gerai dan bazar yang ditutup. Kilang? Malangnya ini juga tidak berlaku.

4. Bantuan wang (Bukan wang KWSP rakyat)

Ini juga asas yang kerajaan seharusnya tahu. Apabila sektor ekonomi sudah terhad, pendapatan dan jumlah saraan rakyat akan makin kecil dan makin susut. Banyak yang hilang kerja pada tahun lepas masih lagi sedang cari kerja.

Kerajaan seharusnya sudah sediakan pelan untuk memberi bantuan wang terus kepada mereka yang terkesan. Bukan dengan membenarkan rakyat keluarkan wang simpanan KWSP sendiri. Tetapi wang dari kerajaan disalurkan terus kepada rakyat. Malangnya, ini juga tidak berlaku.

Banyak lagi hal dan isu yang berbangkit. PKP ini jelas dibuat tanpa ada sebarang rancangan yang rapi dan teliti. Inilah yang berlaku apabila kerajaan hanya mengambil keputusan untuk melaksanakan PKP ke seluruh negara hanya dalam tempoh kurang 2 hari.

Yang merana, rakyat.

Darurat sudah 4 bulan, tetapi kerajaan masih gagal nak lawan wabak pandemik.

Adakah kerajaan berharap dengan pengumuman PKP separuh masak ini, wabak pandemik dapat diatasi?

Sumber: