Saya merasa terpanggil untuk mengulas sebuah tajuk berita “Percepatkan undang-undang dana politik” yang digesa oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.
Hal ini sangat dekat dengan usaha yang telah saya lakukan selama ini dan saya benar-benar menyokong agar sebuah undang-undang pendanaan politik dapat digubal dengan segera. Isu integriti, ketelusan dalam politik serta menginstitusikan proses pendanaan politik kepada ahli politik dan parti politik harus dijadikan fokus utama negara berkaitan hal-hal membanteras salah laku rasuah.
Apabila saya mula menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya sendiri telah melaksanakan 5 Pelan Integriti KBS. Antara perkara yang saya telah buat dengan tegas adalah melaksanakan semua perolehan tender secara terbuka dan telus, membuat forensic accounting dan program auditing serta kerjasama yang mantap dengan pihak SPRM dan KBS.
1. Agenda pertama saya rencana apabila menyertai KBS adalah merangka 5 Pelan Integriti KBS. Tender harus dilaksana secara terbuka, Forensic Accounting & Auditing serta mengutamakan usaha SPRM dalam KBS. pic.twitter.com/T7E1dwgE2e
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) January 23, 2020
Ini hal-hal serius yang perlu dibuat segera di semua kementerian. Undang-undang pendanaan politik ini pula akan dapat meningkatkan ketelusan parti-parti politik untuk berkhidmat.
Apabila saya telah lancarkan 5 Pelan Integriti KBS, saya bawa pula hal pendanaan politik ini ke mesyuarat Jemaah Menteri dan dipersetujui secara kolektif. Akhirnya, saya sendiri telah ditugaskan untuk mengadakan siri-siri mesyuarat dan pertemuan bersama Tan Sri Abu Kassim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM (ketika itu), Latheefa Koya untuk gesaan undang-undang dana politik ini direalisasikan dengan segera. Maklum balas dan kerjasama yang saya terima memang benar-benar positif.
Tan Sri Abu Kassim yang menjawat sebagai Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) juga telah menyatakan komitmen serius untuk merangka undang-undang baharu dengan memberi fokus terhadap sumbangan pembiayaan membabitkan parti politik di negara ini sebaik sahaja beliau menerima persetujuan dari Kabinet.
Begitu juga apabila saya ditugaskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk lakukan kajian dan perbentangan undang-undang pendanaan politik ini kepada semua ahli Majlis Presiden dan Ahli-Ahli Parlimen. Semua juga telah menyatakan komitmen dan sokongan untuk undang-undang ini digubal.
Maksudnya, semua pihak libat urus dan kerajaan pada waktu itu memang sudah setuju dan faham bahawa sebuah undang-undang untuk memantau pendanaan parti politik harus digubal segera.
Saya juga ingin menyatakan bahawa kerajaan memang sudah menjadualkan supaya undang-undang ini dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac 2020 untuk dibahaskan tetapi akhirnya ada insiden pertukaran kerajaan sebelum persidangan Dewan Rakyat.
Mengapa undang-undang ini penting? Walaupun perbincangan berkenaan undang-undang pendanaan politik ini tidak dibincangkan dengan popular berbanding isu-isu lain, hal pendanaan politik ini telah memberi pengaruh yang besar kepada integriti dan proses negara ini mengamalkan politik. Hari ini, negara kita masih lagi terperangkap di dalam kancah politik wang.
Bilionair dan taikun besar terus menjadi kiblat politik negara. Wang menjadi kompas, bukan khidmat dan kemahuan rakyat yang diangkat.
Saya percaya bahawa negara ini perlu berubah dan melangkah ke depan. Gesaan dari Datuk Seri Azam Baki ini harus disambut dengan segera sehinggalah ia dibawa untuk perbentangan di dalam Parlimen. Saya percaya pada prinsip ketelusan integriti dan semangat bilateralisme. Mana-mana parti politik dan ahlinya harus tertakluk kepada sebuah undang-undang yang dapat mengawal proses pendanaan parti. Seruan yang saya bawa ini juga bukanlah perkara baharu kerana kerajaan sebelum ini sudah bersedia dan sudah ada rancangan untuk membentangkan hal ini ke Parlimen.
Maka, saya rasa ia tidaklah sukar dan bukan satu perkara yang mustahil. Sudah tiba masanya sistem perundangan negara memantau tegas hal-hal pendanaan politik kepada setiap seorang ahli politik termasuklah diri saya dan juga parti-parti politik negara.
SYED SADDIQ ADALAH AHLI PARLIMEN MUAR DAN PENGASAS MUDA.