Berita & Rencana

‘Saya hanya tukang hantar laptop’

MUAR: Sejak sesi persekolahan bermula mengikut kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), pelbagai masalah, rungutan dan keluhan timbul dalam kalangan ibu bapa yang memiliki kekangan untuk menyediakan kemudahan itu kepada anak-anak mereka.

Bukan sahaja masalah liputan tidak memuaskan, rata-rata ibu bapa juga berdepan isu menyediakan peranti kepada anak-anak mereka, tidak kira sama ada telefon bimbit, tablet atau komputer riba disebabkan faktor kurang berkemampuan.

Menyedari masalah itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah menjadi bualan ramai apabila menggerakan kempen #botakchallenge pada akhir tahun lalu bagi menjayakan inisiatif mengutip dana untuk program 1 Keluarga 1 Laptop kepada penduduk Parlimen tersebut.

Berkongsi dengan Utusan Malaysia, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau terpanggil untuk menjayakan kempen itu selepas mendengar sendiri keluhan ibu bapa mengenai kekurangan peranti untuk anak-anak mereka belajar secara dalam talian.

Kata beliau, kebanyakan keluarga yang ditemuinya rata-rata berpendapatan kurang RM1,500 serta memiliki isi rumah yang ramai sehingga empat ke enam orang anak.

“Ada kalanya mereka terpaksa meminjam komputer riba kawan-kawan atau lebih sukar lagi mengeluarkan RM2 sejam untuk menggunakan komputer yang memiliki talian internet di kafe siber berdekatan. Itu jika sejam tetapi biasanya lebih daripada itu,” katanya di sini hari ini.

Pada 30 Disember lalu, Syed Saddiq mengotakan janji dengan membotakkan kepala selepas sasaran dana sebanyak RM200,000 berjaya dicapai dengan jumlah keseluruhan yang dikumpul mencecah RM383,000 dalam kempen yang bermula sejak 26 Disember.

Syed Saddiq berkata, kempen tersebut juga digerakkan selepas dia runsing memikirkan bagaimana untuk mencari dana selepas tiada lagi peruntukan khusus selaku Ahli Parlimen yang boleh digunakan untuk membantu rakyat di kawasan Parlimennya.

“Daripada asyik mengeluh sahaja saya kena berfikir di luar kotak sedikit supaya dapat meneruskan politik khidmat kepada orang Muar. Setelah berbincang ada beberapa aktiviti fundraising yang boleh dibuat dan salah satunya adalah #botakchallenge.

“Dengan dana diperoleh, kami sasarkan untuk mendapatkan kira-kira 500 komputer riba untuk disampaikan kepada pelajar kurang berkemampuan. Setakat ini 200 buah sudah diedarkan dan minggu ini dalam proses untuk membeli lebih 100 komputer riba lagi,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berharap lebih ramai Ahli Parlimen terutamanya di pihak kerajaan boleh melakukan program sama iaitu menyediakan satu komputer riba bagi setiap keluarga di kawasan masing-masing supaya masalah ketika PdPR dapat diatasi.

“Saya tak dapat pun peruntukan tetapi saya boleh buat inisiatif menyampaikan ratusan laptop, kenapa mereka tidak boleh lakukan perkara yang sama lebih-lebih lagi mereka ada peruntukan wakil rakyat,” katanya.

Sumber:
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram