Setelah banyak perbincangan dan gesaan, akhirnya kerajaan akur supaya Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dikaji semula.
“YB, kamu ni sokong anak muda menghisap rokok ke sampai nak tolak GEG?”
Sudah tentu jawapannya tidak. Saya mahu rakyat Malaysia bebas asap rokok.
Saya juga bukan perokok. Tetapi ada banyak fasal di dalam RUU GEG ini yang beri kuasa terlalu besar kepada salah guna kuasa dan penyelewengan dari pihak berkuasa.
“Kamu menentang doktor dan pakar perubatan, YB”
Jawapannya juga tidak. Saya percaya pada data dan sains.
Tetapi ini tidak boleh menjadi satu kesempatan untuk membuka “loophole” kepada ancaman keselamatan rakyat.


Contoh kuasa yang terlalu besar di dalam RUU GEG:
– Memberhentikan dan menggeledah kenderaan serta memeriksa apa-apa bagasi, bungkusan dan apa-apa bekas tanpa waran;
– Memaksa akses kepada peranti dan komputer untuk mendapatkan maklumat, termasuk memaksa penyerahan kata kunci kepada peranti dan maklumat berkumputer;
– Menggunakan kekerasan untuk memecah masuk ke mana-mana premis tanpa waran.
Sebab itu kita Ahli-Ahli Parlimen (ya, ramai MPs yang minta kaji semula) gesa kerajaan untuk tubuhkan Jawatankuasa Khas untuk drafkan semula RUU ini.
Dalam perbahasan semalam pun, saya sebut – roh atau natijah kepada RUU GEG ini semua orang setuju. Semua mahu rakyat Malaysia bebas asap rokok.
Tetapi niat tidak menghalalkan cara. Kalau niat baik, caranya juga harus baik.
Kalau masih ingat, ramai rakyat didenda dari RM1,000 sampai RM50,000 kerana tak pakai facemask. Niat baik, tetapi caranya tidak kena untuk rakyat Malaysia.


“YB cakap sahaja, apa cadangan YB?”
Saya mestilah dah bagi cadangan. Boleh tengok klip video perbahasan saya.
Tetapi secara ringkasnya ada 3 cadangan:
1. Jangan jenayahkan kepada pengguna. Fokus kepada sumber & pembekal.
2. Kajian bersandarkan sains & data perlu dibuat mengikut harm-reduction strategy.
3. Keluarkan seksyen yang outdated & mudah disalahgunakan.
Apa-apapun, RUU GEG ini akan dibentangkan semula di dalam Persidangan Parlimen akan datang dan saya berharap kali ini, kerajaan dengar suara rakyat.