Berita & Rencana

MUDA Mahu Kerajaan Atasi Isu Layanan Dua Darjat SOP COVID-19

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap layanan dua darjat yang diberikan kepada kalangan orang kenamaan berbanding rakyat jelata dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan.

Muda dalam kenyataannya berkata pihak yang bertanggungjawab juga mesti menyiasat semua kes yang melibatkan orang kenamaan – termasuk menteri – serta mendedahkan proses serta hasil siasatan yang dijalankan secara telus dan adil.

“Tindakan pihak berkuasa yang tidak konsisten dalam penguatkuasaan pematuhan SOP menonjolkan ketidakadilan dan sifat zalim.

“Setakat 14 Mac ini, seramai 458 orang awam dikenakan tindakan dengan 438 daripadanya disaman, tujuh direman dan 13 dilepaskan dengan jaminan.

“Rakyat melanggar SOP dikenakan saman RM10,000. Pada 13 Mac dilaporkan satu pasangan dikenakan kompaun maksimum kerana tidak memakai pelitup muka walaupun membukanya untuk makan dan minum.

“Tindakan yang segera dan berat bagaimanapun tidak dikenakan ke atas golongan menteri dan ahli politik,” kata Muda.

Justeru, Muda menggesa kerajaan menguatkuasakan tindakan dan hukuman secara tegas dan adil ke atas semua pihak yang melanggar SOP tanpa mengira latar belakang, kedudukan dan pengaruh kuasa.

Selain itu, Muda juga akan melancarkan satu laman sesawang – lapormenteri.com – untuk mengumpul segala aduan dan maklumat berkaitan golongan kenamaan yang melanggar SOP.

“Laman ini akan memuatkan semua pelanggaran SOP untuk dipamerkan kepada orang ramai dan untuk dibawa ke perhatian pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: