Saya meneliti perbualan orang ramai tentang DidikTV dan sesi pengajaran Cikgu Rafidah. Sesi Cikgu Rafidah telah menjadi bahan jenaka seorang penyampai radio yang tular baru-baru ini.
Pertama, saya tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba mentertawakan atau mengejek usaha seorang guru mengajar anak-anak murid.
Ini adalah tindakan yang jelek dan bukan norma orang yang berilmu. Guru harus kita hormat.
Kedua, saya percaya perbualan orang ramai tentang Cikgu Rafidah harus berbalik kepada fokus asal; iaitu krisis pendidikan yang seharusnya ditangani dengan lebih baik oleh Menteri Pendidikan.
i. Kelemahan dalam DidikTV boleh diatasi jika dilancarkan lebih awal (baca: tahun lepas).
Benar, krisis pendidikan sudah berlaku sejak tahun lepas lagi. Mengapa DidikTV baru lancar minggu lepas? Saya tahu tidak ada program atau inisiatif yang benar-benar sempurna, tetapi kalau lancar lebih awal, sudah pasti banyak kelemahan akan dapat diatasi secara berperingkat.
ii. Lancar DidikTV minggu lepas, tapi sekolah akan buka minggu depan (1 Mac 2021).
Ini juga cetuskan kekeliruan. Sudahlah ibu bapa dah habiskan wang beli gajet, laptop dan tablet untuk anak-anak, ada pula pengumuman sekolah akan dibuka minggu depan.
Jadi, wang beli laptop dan tablet itu sepatutnya sudah boleh guna buat beli baju sekolah, barang sekolah. Sekarang, kalau ibu bapa tidak ada wang pula bagaimana?
Saya juga keliru apabila keputusan flip flop ini dibuat. Jadi, DidikTV ini sudah tidak jadi fokus lagi selepas sekolah dibuka lah?
iii. Mana 150,000 laptop yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021?
Pengumuman 150,000 laptop pada tahun lepas adalah kerana kerajaan sedang bersiap sedia untuk melanjutkan tempoh belajar dari rumah.
Sehingga hari ini, tidak ada lagi berita atau khabar bila laptop ini akan diagihkan.
Atau adakah laptop ini sudah tidak perlu memandangkan sekolah sudah dibuka semula?
Ini hanya sebahagian kecil kekeliruan dari orang ramai. Banyak lagi hal-hal lain yang jadi rungutan ibu bapa dan guru-guru. Apa-apapun, Menteri Pendidikan harus segera beri respons dan tidak boleh menganggap “business as usual” sahaja.
Sumber: