Saya lihat Kerajaan Perikatan Nasional lebih gemar untuk memposisikan peranan mereka hanya sebagai “tukang umum” sahaja.
Dalam hal COVID-19, kerajaan PN akan umum jumlah kes setiap hari.
Umum jumlah kluster baru dan lama. Umum PKP, PKPB, PKPD. Macam-macam umum.
Terbaru, Menteri Ismail Sabri umum akan ada gelombang keempat COVID-19.
Tapi, apa yang lebih penting untuk kerajaan PN lakukan adalah umumkan Indeks Prestasi (KPI) setiap menteri yang bertanggungjawab dalam hal COVID-19. Sebab sehingga hari ini, kerajaan PN bergerak tanpa meletakkan sebarang bentuk KPI untuk rakyat nilai dan pantau.
Contohnya dalam hal COVID-19. Kerajaan PN sepatutnya umum apakah KPI atau prestasi yang kerajaan akan capai. Selepas umum darurat, PKP 2.0, kita masih tidak merasa perubahan yang baik kepada jumlah kes COVID-19.
Malah, Menteri umum pula akan ada gelombang keempat.
Selepas PKP2.0, apakah prestasi kita?
Apa yang Menteri Kesihatan sudah buat dan capai?
Apa yang Timbalan-Timbalan Menteri Kesihatan laksanakan sampai berkesan?
Apa yang Menteri Pertahanan Ismail Sabri yang bertanggungjawab kepada Majlis Keselamatan Negara dah berjaya siapkan?
Ini semua tidak pernah diumumkan. Prestasi dan pencapaian setiap orang adalah hal yang normal dibuat di mana-mana organisasi. Jadi, Menteri-Menteri pun harus ada KPI (yang mereka harus umum).
KPI yang pernah kerajaan umumkan adalah perlaksanaan vaksinasi sehingga 80% jumlah populasi negara kita. Jika ada pengumuman KPI sebegini, barulah rakyat boleh nilai prestasi menteri dan kerajaan PN.
Kalau Menteri Ismail Sabri hanya mahu umum akan ada gelombang keempat COVID-19, ini bukan agenda bergerak ke hadapan yang rakyat mahu dan pinta.
Jangan hanya jadi “tukang umum” tetapi prestasi dan pencapaian pun tidak pernah dinilai.